Jumaat, 24 Mac 2017

J Revolusi, Kanang Anak Langkau dalam senarai Top 10 GSC


Filem J Revolusi masih berada di tangga ketiga carta Top 10 GSC.


Dua filem tempatan, J Revolusi dan Kanang Anak Langkau: The Iban Warrior berada dalam senarai Top 10 Carta GSC (Golden Screen Cinema) bagi filem yang mendapat sambutan baik daripada penonton sehingga 24 Mac 2017.

Kedua-dua filem itu dilihat sedang 'berjuang habis-habisan' untuk terus mengekalkan kewukudan filem tempatan dalam panggung yang hampir ditenggelami filem luar.

Entah ke mana menghilangnya filem tempatan yang digembar-gemburkan cukup banyak sehingga berebut-rebut tarikh tayangan. Namun dalam senarai filem yang ditayangkan dalam rangkaian panggung GSC, hanya J Revolusi dan Kanang Anak Langkau: The Iban Warrior yang masih bertahan.

GSC adalah pengedar dan pemamer (rangkaian panggung) terbesar di Malaysia.
J Revolusi yang dilaporkan sudah mencatatkan kutipan box-office lebih RM6 juta berada di tempat ketiga di belakang Kong: Skull Island dan Logan.

Tanpa publisiti agresif, Kanang Anak Langkau: The Iban Warrior bertahan di tangga kesembilan carta Top 10 GSC.

Filem Kanang Anak Langkau: The Iban Warrior yang tidak ada promosi dan pemasaran hebat, berada di tempat kesembilan, satu kedudukan yang tidak mengecewakan.

Kanang Anak Langkau: The Iban Warrior arahan Bade Haji Azmi yang mula ditayangkan sejak 16 Mac lalu dibintangi oleh Linggi Anak Langkau, Johan As'ari, Aidil Aziz, Adi Putra, Jay Izwazir, Adam Shah, Livonia Ricky dan Jimmy Leong.
Sehingga 24 Mac 2017, tidak ada filem tempatan (filem bahasa Melayu) terbaharu yang masuk panggung untuk ditayangkan.

Kekalkan di tangga pertama filem Kong: Skull Island

Berdasarkan portal rasmi GSC, terdapat 27 filem sedang ditayangkan di pawagan MidValley, iaitu rangkaian pawagam GSC yang utama dan antara terbesar.
Dari jumlah itu, 17 daripada filem Inggeris.

Masing-masing dua filem dalam bahasa Melayu (J Revolusi dan Kanang Anak Langkau: The Iban Warrior), Kantonis (Kungfu Yoga dan Vampire Cleanup Department), Mandarin (Goodbye Mr Loser dan Therapist) dan Jepun (Sword Art Online: Ordinal Scale dan Kizu Monogatari 3).
Terdapat satu filem dalam bahasa Tagalog iaitu Ma'rosa, dan Vietnam (The Housemaid).


Power Rangers dan Courage adalah filem terbaru dibawa masuk untuk ditayangkan.
Filem lain yang masih mendapat sambutan ialah La La Land, Split, xXx: The Return of Xander Cage, Attraction dan Life.

Mengikut paparan utama portal GSC, terdapat 32 filem sedang ditayangkan dalam rangkaian panggungnya di seluruh negara.
Ini termasuklah lima filem dalam bahasa Tamil seperti Dhayam, Engitta Modhathey, Dhil Lauri,Oru Mugathirai dan Motta Shira Ketta Shiva selain sebuah filem Hindi iaitu Badrinath Ki Duhaniya.

Filem Tamil, Motta Shira Ketta Shiva turut berada dalam senarai Top 10 GSC

Agak mengejutkan juga apabila filem dari Indonesia, Surga Yang Tak Dirindukan 2 masih ditayangkan di panggung tertentu GSC (tidak semua tempat).

Top 10 Movies GSC (sehingga 24 Mac 2017)
1. Kong: Skull Island
2. Logan: The Wolverine
3. J Revolusi 
4. Attraction 
5. The Last Vampire
6. Motta Shiva Ketta
7. A Dog’s Purpose
8. Therapist
9. Kanang Anak Langkau: The Iban Warrior 
10. The Housemaid
Sumber: www.gsc.com.my 

Sabtu, 18 Mac 2017

Kanang Anak Langkau: The Iban Warriors 'tewas' kerana promosi lemah





Agi Idup Agi Ngelaban! Agi Idu Agi Ngelaban! bermaksud selagi hidup, selagi itu lawan.
Itulah bahasa Iban yang dilaungkan oleh Kanang ketika cedera parah dalam satu operasi melawan pengganas komunis.
Kata-kata itulah menjadi keramat dalam filem Kanang Anak Langkau: The Iban Warriors yang ditayangkan dipanggung wayang seluruh negarah sejak 16 Mac 2017.

Filem Kanang Anak Langkau: The Iban Warriors - mengangkat keberanian lelaki Iban yang dalam perjuangan menentang musuh ketika negara kita dalam zaman darurat.
Beliau ialah (mendiang) Temenggong Datuk Kanang Anak Langkau
Penulis bernasib baik kerana masih sempat menonton filem ini, kerana kebanyakkan panggung dilaporkan mengurangkan atau menarik balik penayangannya kerana tidak mendapat sambutan dari penonton.
Seperti kebanyakkan filem tempatan, khususnya filem Melayu, soal promosi, pemasaran dan publisiti memang sangat lemah walaupun dalam kalangan karyawan filem kita sesetengahnya sudah ada kemajuan dalam berkarya.

Antara babak tragis dalam Kanang Anak Langkau: The Iban Warriors apabila rakan sepasukan Kanang terkorban.
Watak Kanang dilakon sendiri oleh anak mendiang iaitu Langgi, manakala barisan pelakon lain dalam filem Kanang Anak Langkau: The Iban Warriors ialah Adi Putra, Johan Asari, Livonia Ricky, Ruzana Ibrahim, Ali Arami, Zack X Factor, Jimmy Leoong, Adam Shaz, Jerrica Lai, Aidil Aziz dan Jay Iswazir serta Sofian Bujang.
Anak mendiang Kanang, Langgi melakonkan watak ayahnya dalam Kanang Anak Langkau: The Iban Warriros.
Sayang filem yang boleh dianggap baik ini tidak dipasarkan dan dipromosikan dengan baik, tau-tau saja sudah dibawa masuk panggung.
FIlem Kanang Anak Langkau: The Iban Warriors jauh lebih baik daripada filem Leftenan Adnan.


Berbeza dengan cerita dalam filem Leftenan Adnan yang bersifat biografi  dan meleret-leret sehingga menenggelamkan matlamat sebenarnya iaitu memaparkan aksi perjuangan habis-habisan Leftenan Adnan itu sendiri, filem Kanang Anak Langkau: The Iban Warriors dilihat lebih fokus iaitu memaparkan keberanian Kanang.

Adi Putra antara pelakon dalam Kanang Anak Langkau: The Iban Warriors
Filem Kanang Anak Langkau: The Iban Warriors secara keseluruhan tidaklah teruk sangat. Ada usaha keras ditunjukkan oleh pengarahnya, Bade Haji Azmi untuk menghasilkan karya yang terbaik dan termampu darinya.
Selepas banyak usaha dan kos dihabiskan untuk proses pembikinan, penerbit filem ini seolah-olah lupa untuk menyediakan peruntukan bagi publisiti dan pemasaran.

Pengarah Kanang Anak Langkau: The Iban Warriors, Bade Haji Azmi
Akibatnya, filem Kanang Anak Langkau: The Iban Warriors ibarat askar yang berjuang tanpa senjata secukupnya untuk bertempur medan perang. Tiada senjata yang benar-benar berkesan.
Penonton atau orang ramai sewajarnya 'dibom' dengan publisiti dan promosi mengenai kehadira filem ini.
Di penghujung filem ini habis begitu saja. Tidak ada satu remarks atau ringkasan apa sebenarnya terjadi kepada Kanang selepas pertempuran sengit di Sungei Siput, Perak. Dan, apa yang terjadi dengan kehidupan Kanang selepas meninggalkan khidmat angkatan tentera.
Tiba-tiba saja 'masuk' dengan visual mengenai kematian Kanang sedangkan dalam pertempuran itu, difahamkan Kanang koma kerana cedera parah.


Siapa Kanang anak Langkau?

* Dilahirkan pada 2 Mac 1945 di Julau, Sarawak
* Menjadi anggota tentera dengan Tentera British sebagai Penjejak Iban (Iban Tracker).
* Mengikuti latihan ketenteraan di Jungla Warfare School di Ulu Tiram, Johor pada 1962.
* Diserapkan dalam anggota 42 Komando ketika Revolusi Brunei dan era Konfrontasi Malaysia-Indonesia.
* Berkhidmat di bawah Rejimen Infantri Diraja New Zealand sebelum diserapkan dalam Sarawak Rangers yang kemudian menjadi sebahagian Malaysian Rangers apabila Pengisytiharan Malaysia pada 16 September 1963.
* Sarawak Rangers sebahagian daripada Tentera British dan apabila British berundur, ia kemudian diserapkan menjadi Rejimen Ranger Angkatan Tentera Malaysia.
* Pada 1 Jun 1979, Sarjan Kanang dan rakan sepasukan dari Batalion Ke-8 Royal Rangers, menyertai operasi mengesan musuh di Hutan Simpan Korbu, Hulu Kinta, Perak.
* Dalam pertempuran ini, lima musuh (pengganas komunis) berjaya dibunuh. Bagaimanapun, dua anggota tentera cedera parah. Kanang dianugerahkan Pingat Gagah Berani oleh Yang DiPertuan Agong.
* 8 Februari 1980, Kanang mengetuai satu paltun untuk mengesan musuh yang membunuh seorang askar di Tanah Hitam, Perak.
* Selepas 11 hari mengesan jejak, Kanang berjaya menjejaki sekumpulan besar musuh di Ladang Kinding, Sungei Siput, Perak.
* Pada 19 Februari 1980, pertempuran sengit berlaku di antara platun di bawah pimpinan Kanang dengan pengganas komunis. Dalam pertempuran itu, Kanang terkena tiga tembakan dari musuh tetapi beliau tidak mengalah untuk terus mengangkat senjata.
* Di sebalik menahan kesakitan, beliau terus memberikan semangat kepada rakan-rakannya untuk terus berjuang dan jangan berundur.
* Seramai lima pengganas komunis berjaya dibunuh dalam pertempuran ini. Bagaimanapun, seorang tentera maut ketika dalam usaha untuk menyelamatkan rakan seperjuangan yang cedera parah dalam pertempuran ini.
* Kanang sendiri koma hampir sebulan akibat kecederaan teruk yang dialaminya ketika itu.

Khamis, 16 Mac 2017

Joe tidak berdendam dengan Wings



Tiada dendam dari Joe dan mengucapkan selama maju jaya kepada Wings.

Setakat ini, Awie dan Joe dilihat sama-sama profesional.
Belum ada kedengaran atau kenyataan tuduh menuduh, dakwa mendakwa atau memburuk-burukkan antara satu sama lain apabila Joe meninggalkan Wings.
Kedua-duanya saling mengucapkan selamat berjaya dengan haluan masing-masing.
Selepas hampir 30 tahun bersama Wings, pemain gitar utama itu mengambil keputusan mengundurkan diri lalu menubuhkan kumpulan sendiri dikenali Prime Domestic.
Pengunduran Joe berlaku di saat Awie dan Wings bersiap sedia untuk melangsungkan konsertnya - Wings & Superfriends - Belenggu Irama di Istana Budaya awal bulan depan (April 2017).
Selain Awie, Joe boleh dianggap tulang belakang penting dalam kumpulan Wings. Joe bukan sekadar pemain gitar sahaja, tetapi dia juga seorang pemuzik kreatif yang turut terbabit dalam kerja kreatif dengan menghasilkan lagu untuk Wings.
Joe juga adalah orang penting di sebalik penerbitan album baharu Wings.


Selepas hampir 30 tahun bersama, Joe (kiri) sekali berundur dari kumpulan Wings dan bakal muncul dengan kumpulan baharu, Prime Domestic.
Memetik portal berita AgendaDaily.com, Joe berkata sudah sampai untuk dia meninggalkan Wings dan tidak menyimpan sebarang dendam.
“Saya terima qada dan qadar. Tak perlulah menoleh ke belakang. Dalam mana-mana kumpulan mesti ada kontroversi.
Ini lumrah dunia seni. Mungkin satu hari nanti kami boleh bergabung.
“Kemunculan Prime Domestic pula akan memberi saingan sihat kepada kumpulan rock sedia ada,” katanya dalam portal itu.
Nada kenyataan itu menunjukkan kematangan Joe yang ternyata kelihatan sangat cool dan benar-benar 'tidak mahu menoleh ke belakang'. 

Joe menyertai Wings pada tahun 1988 menggantikan kekosongan dua pemain gitar terdahulu.
Dalam sejarah Wings, keluar dan masuk anggotanya bukanlah perkara baru.
Awie sendiri pernah keluar dari Wings pada tahun 1994 untuk menjadi penyanyi solo.
Joe menjadi antara tonggak penting survival Wings sepanjang ketiadaan Awie. Ketika ketiadaan Awie, posisinya diisi oleh Ismail Zainuddin atau Mel pada tahun 1995. Tapi Mel hanya setahun saja dengan Wings.
Pada tahun 1996, bekas vokalis May, Mustaffa Din atau Mus pula menjadi vokalis Wing dari tahun 1996 hingga 2000.
Dan, Awie kembali menjadi vokalis Wings pada tahun 2000 dan kekal hingga sekarang.

Awie keluar dari Wings untuk jadi penyanyi solo pada tahun 1994 sebelum kembali sebagai vokalis utama Wings dari tahun 2000 hingga sekarang. 
Syam atau Kamarullizam Kamarudin adalah pemain gitar utama Wings yang asal. Dia bersama Wings dari tahun 1985 hingga 1987 sebelum keluar menyertai kumpulan CRK.
Tempat Syam diisi Tham Wing Kwan atau Tham. Tham tidak lama dengan Wings apabila dia keluar pada 1988 tanpa sempat membuat sebarang album bersama Wings.
Joe atau Abdul Zamin Abdul Kadir hadir mengisi kekosongan posisi pemain gitar utama pada 1988 sehinggalah dia mengumumkan berundur dari Wings pada Mac 2017.

Peman bass, Eddie (paling kanan) satu-satunya anggota Wings yang tidak pernah keluar sejak kumpulan ini ditubuhkan dari awal lagi.
Posisi pemain dram juga tidak terkecuali dari pertukaran anggotanya. Pemain dram Wings yang asal Black atau Azmi Hashim menyertai kumpulan ini dari tahun 1986 hingga 1990. Dia kemudian meninggalkan Wings hampir empat tahun.
Ketika ketiadaan Black, tempat yang kosong itu digantikan dengan Jojet (Rodzane Mohamed) yang sebelumnya adalah pemain dram kumpulan Gersang. Sebenarnya, Jojet sudah bersama Wings pada tahun 1985.
Black kembali bersama Wing pada tahun 1994.
Hanya pemain bass, Eddie (Samsaidi Ulong Idris) saja dianggap orang paling setia dengan Wings. Dia satu-satunya kekal bersama Wings sejak kumpulan ini diasaskan pada tahun 1985.

Selasa, 14 Mac 2017

Bukan salah LPFM tayangan Beauty And The Beast ditangguhkan


Filem Beauty and The Beast ditangguhkan tayangannya yang sepatutnya pada 16 Mac 2017.

Sehingga kini (14 Mac 2017), Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPFM) tidak mengeluarkan keputusan untuk mengharamkan (banned) penayangan filem terbitan Disney, Beauty And The Beast.
Bermakna filem diadaptasi dari animasi kepada aksi realiti itu boleh ditayangkan kepada umum.
Ada beberapa sentimen yang menyalahkan LPFM kerana berlaku tidak adil atau double standard.

Portal berita www,thegurdian.com melaporkan, Disney selaku penerbit dan pengedar filem Beauty And The Beast menarik balik tayangannya di Malaysia selepas LPFM meluluskan tayangannya tetapi dengan syarat membuat babak 'momen gay'.

Filem itu sepatutnya ditayangkan pada 16 Mac 2017.
Pengerusi LPFM, Datuk Abdul Halim Abdul Hamid yang dipetik dalam berita itu sebagai berkata, pihaknya tidak tahu mengapa filem itu ditangguhkan tayangannya oleh Disney, sedangkang ia sudah mendapat kelulusan daripada badan penapisan dengan sedikit potongan membabitkan babak gay.
"Babak itu mempromosikan homoseksual yang sememangnya dilarang tetapi filem itu (selepas potongan babak terbabit) diberikan klasifikasi P13, bermakna penonton bawah umur 13 tahun boleh menonton dengan iringan keluarga atau penjaga," katanya.

LPFM tentu ada justifikasinya sendiri. Filem ini dipetik dari versi animasi. Sedikit sebanyak tentu banyak kanak-kanak bawah 13 tahun mahu menontonnya.
Apapun, LPFM masih membenarkan filem itu ditayangkan di negara ini tetapi dengan beberapa potongan pada babak yang dianggap sensitif. Mungkin ia diklasifikasikan sekurang-kurangnya P13. Mungkin boleh diklasifikan P18.

Portal www.gsc.com.my ada memaklumkan kesediaan memulangkan tiket kepada mereka yang sudah membuat tempahan untuk menonton filem ini.
GSC memberi tempoh selama 14 hari dan hendaklah tunjukkan tiket, resit atau dokumen lain sebagai bukti pembelian, tempahan untuk mendapatkan bayaran semula (refund).


Beauty and The Beast versi animasi ditayangkan pada tahun 1991.

Filem Beauty And The Beast diadaptasi daripada versi animasi yang diterbitkan oleh Disney pada tahun 1991.
Dalam versi lakonan semula secara realiti, watak-watak penting seperti Belle dilakonkan oleh Emma Watson, manakala Beast atau The Prince iaitu Putera Raja yang disumpah menjadi hodoh dengan wajahnya menyerupai singa dan bertubuh manusia dilakonkan oleh Dan Stevens.
Watak jahat, Gaston dilakonkan oleh Luke Evans, manakala LeFou yang menjadi tali barut Gaston dipegang oleh Josh Gad.

Filem ini sepatutnya tidak ada masalah sehinggalah pada babak membabitkan Gaston yang 'mesra dan intim' dengan LeFou.
Elemen gay dan homoseksual ini memang sudah melanggar adab dan nilai kesopanan di negara ini. Bukan saja di negara ini, tetapi di England dan Amerika Syarikat, penayangan filem Beauty And The Beast turut menghadapi bantahan kerana adegan yang dianggap tidak senonoh itu.
Russia mencadangkan supaya filem itu diharamkan terus daripada ditayangkan di negara itu.
Memetik laporan portal berita www.bbc.com/news/entertainment-arts, Menteri Kebudayaan Russia, Vladimir Medinsky sebagai berkata filem Beauty And The Beast sebagai 'propaganda mereka yang tidak malu dengan dosa'. Undang-undang Russia melarang keras penyebaran propaganda gay dalam kalangan golongan bawah umur.
Menerusi akhbar digital di London, http://metro,co.uk, pengarah Beauty and The Beast, Bill Condon secara terbuka mengaku memang ada 'ruang masa eksklusif untuk gay' yang membabitkan aksi LeFou dan Gaston.
"LeFou adalah seseorang yang pada satu ketika mahu menjadi Gaston miliknya, dan pada hari yang lain mahu mencium Gaston," kata Condon,
Penjelasan Condon sekali gus membuktikan ini adalah kali pertama sebuah filem Disney memaparkan watak gay secara terbuka.
Majalah hiburan digital popular Amerika, Variety,com pula melaporkan beberapa panggung wayang di Alabama membatalkan penayangan filem Beauty And The Beast kerana terdapat babak yang tidak sesuai untuk tontonan sesi keluarga.

INFO
* P13 - Penonton berumur bawah 13 tahun, memerlukan pengawasan dan bimbingan ibu bapa atau penjaga ketika menonton. Filem mengandungi unsur seram, adegan atau aksi negatif, unsur suspen dan mengejutkan tetapi tidak berlebihan, jalan cerita yang sukar difahami dan boleh menganggu emosi kanak-kanak
* 18 - Untuk penonton berumur 18 tahun dan ke atas. Filem ini mengandungi unsur seram, ngeri serta ganas tetapi tidak keterlaluan, adegan kedewasaan yang tidak keterlaluan dan aspek sosial politik serta agama yang sensitif yang memerlukan tahap kematangan tinggi untuk memahaminya.

Isnin, 13 Mac 2017

Kong, Logan 'belasah' filem tempatan












Ketika ini dua filem Hollywood, Kong: Skull Island dan Logan: The Wolverine berada dalam carta teratas Top 10 di rangkaian panggung GSC.
Filem tempatan?
Bila tengok filem tempatan yang ditayangkan dalam tiga bulan pertama tahun 2017, terasa seperti menonton filem yang sudah ketinggalan tiga atau empat ke belakang.
Betullah, tak adil nak samakan filem tempatan dengan filem Hollywood. Dari aspek teknologi dan teknikal serta kos, memang tidak terlawan.
Tapi dari aspek cerita, plot dan sub-teks, rasanya kita boleh lawan filem dari Hollywood.
Kalau ceritanya syok ditonton, orang tak kira soal teknologi dan cara pembikinannya.
Filem Indonesia seperti Surga Yang Tak Rindukan 2 tidak menggunakan teknologi serba canggih tetapi ia masih ditayangkan di panggung hampir sebulan.
Filem dari Iran pun jauh ketinggalan dari sudut teknologi pembikinan, tetapi dari aspek pengolahan, penceritaan dan sub-teks, ada yang lebih baik daripada filem dari negara lebih maju.
Sudah berjuta ringgit dibelanjakan, samada dana dari kerajaan atau syarikat persendirian, namun kebanyakan filem kita masih tidak banyak berubah. Pi mai pi mai masih tang tu juga.
Filem yang disiapkan dua atau tiga tahun lepas, baru tahun ini ditayangkan.
Pelakon yang dahulunya popular, sekarang entah ke mana. Mungkin juga pelakon itu sendiri sudah tidak popular.
Ada yang tidak sedar dan tidak tahu pun dengan kewujudan filem Dorm Melati, Spy In Love dan Aku Haus Darah Mu. Beberapa filem Cina tempatan juga masuk panggung, memberi saingan kepada filem Melayu. Antaranya Love From Kampung (dalam bahasa Kantonis), New Year Wish (Mandarin), Money Money Home dan I Am Lee Kah Seng.

Filem Kantonis tempatan, Love From Kampung dapat kutipan RM1 juta. 



Dorm Melati filem tempatan pertama ditayangkan pada tahun 2017, catat kutipan lebih RM350,000 selepas 21 hari ditayangkan.
Spy In Love menampilkan pelakon cantik dan kacak tetapi hanya dapat RM4,059 dan ditayangkan lima hari.


Filem seram Aku Haus Darah Mu dapat kutipan kasar hampir RM60,000 dengan tempoh tayangan 14 hari. 

Setakat ini, sudah 10 filem terbitan tempatan (local movie) sudah masuk panggung. Filem yang sedang ditayangkan ialah J Revolusi.

Filem J Revolusi catat kutipan RM1.9 juta selepas lima hari ditayang bermula 2 Mac 2017
Satu perkara yang klise, bila setiap kali filem tak laku, kita akan mendengar pengarah atau penerbit susah hendak mengaku kelemahan filem terbitan dan arahannya.
Dengan pantas, bagi alasan filem mereka disaingi oleh filem lain. Lalu mereka tuduh pihak tertentu seperti FINAS atau Wajib Tayang tidak prihatin dengan mereka kerana membiarkan filem luar menyaingi filem mereka.
Ada juga yang kata penonton tak bijak menilai. Asyik nak tengok filem yang ringkas saja. Itu semua sebenarnya hanya mendedahkan tembelang kelemahan diri sendiri.
Kalau filem tempatan sememangnya kuat, penerbit atau pengarahnya tidak akan gentar dengan filem luar.
Kenapa nak takut bersaing? Nak salahkan penonton? Hak penonton atau orang ramai hendak tengok filem yang mereka suka. Mereka keluarkan duit dari poket sendiri. Pastinya setiap orang ada cita rasa sendiri.
Mengambil contoh filem Soulmate Hingga ke Jannah arahan Profesor Dr A Razak Mohaideen yang dikatakan mencatatkan kutipan teruk. Ada melaporkan kutipan filem itu tak sampai RM100,000 pun berbanding kosnya yang dikatakan lebih RM1 juta.

Soulmate Hingga Jannah hanya dapat sekitar RM25,000 selepas tamat tayangannya selema tujuh hari.

Filem dari Indonesia ini masih bertahan dalam panggung sejak ditayangkan 9 Februari lalu. 

Penerbitnya mendakwa kutipan itu teruk kerana Soulmate Hingga Ke Jannah menghadapi saingan dengan Surga Yang Tak Dirindukan 2 dari Indonesia.
Daripada menyalahkan pihak lain, lebih baik pengarah dan penerbit Soulmate Hingga Ke Jannah melihat sendiri filem Surga Yang Tak Dirindukan 2. Apakan kekuatan filem arahan Hanung Bramantyo itu.
Dalam portal GSC, filem dari Indonesia itu yang ditayangkan pada 16 Februari lalu masih berada dalam carta Top 10. Karyawan filem kita harus buat post-moterm apa yang tidak kena dengan karya mereka sebelum hendak menuding jari kepada pihak lain.

Filem Tempatan yang ditayangkan dari Januari 2017 hingga 10 Mac 2017

Tarikh Tayangan         Filem                     Jumlah Hari Ditayangkan           Kutipan Kasar
02 Januari 2017          Dorm Melati                       21 hari                                  RM  350,000.
19 Januari 2017          Spy In Love                          5 hari                                RM      4,059.
26 Januari 2017          Love From Kampung*       19 hari                                   RM1,052,142.      
26 Januari 2017          New Year Wish**              11 hari                                   RM    49,282.
02 Februari 2017        Aku Haus Darah Mu          14 hari                                   RM     59,964.
02 Februari 2017        Money Money Home         02 hari                                   RM   335,222.
09 Februari 2017        I Am Lee Kah Seng            14 hari                                  RM     76,194.
16 Februari 2017        Soulmate Hingga Jannah    7 hari                                    RM     25,479.
23 Februari 2017        Pak Pong                             7 hari                                  RM     35,607.
02 Mac 2017               J Revolusi***                     5 hari                                   RM1,914,041.


* Filem Bahasa Kantonis
** Filem Bahasa Mandarin
*** Masih ditayangkan.

Sumber: Portal Rasmi Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (FINAS) 

Khamis, 9 Mac 2017

Gabungan filem Polis Evo, The Journey catat RM34.58 juta


Filem Polis Evo dan The Journey, kedua-duanya terbitan Astro Shaw mendahului dua senarai teratas Top 10 filem cereka tempatan yang mencatatkan kutipan pecah panggung.
Berdasarkan Maklumat Industri Filem Tempatan daripada Portal Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), kombinasi kutipan dua filem ini mencatatkan kutipan kasar RM34.58 juta.
Satu lagi filem Astro Shaw iaitu Ombak Rindu berada di tempat keempat dengan kutipan RM10.9 juta.
Filem Hantu Kak Limah Balik Rumah terbitan Tayangan Unggul iaitu anak syarikat Astro Shaw berada di tangga kesembilan.Filem ini mencatatkan kutipan RM7.9 juta.
Ini membuatkan keseluruhan empat filem di bawah bumbung Astro ini mencatatkan kutipan kasar sebanyak RM53.38 juta.


Sementara itu, tiga filem terbitan MIG Production juga berada dalam senarai Top 10 filem cereka tempatan iaitu Ngangkung dengan kutipan kasar RM8.18 juta, Kongsi (RM8.09 juta) dan Adnan Sempit (RM7.66 juta).
Turut berada dalam senarai ini ialah KL Gangster terbitan Skop Production dengan kutipan kasar RM11.74 juta, manakala Khurafat yang diterbitkan bersama Skop Production dan Primeworks Sdn Bhd membawa kutipan RM8.08 juta
Filem Hantu Bonceng terbitan Execellent Pictures milik Ahmad Idham berada di tempat kelima dengan catatan RM8.54 juta.


Polis Evo catatkan kutipan RM17.47 juta
                                         

Filem The Journey tayang pada 2014 catatkan kutipan kasar RM17.17 juta

Filem KL Gangster dapat kutipan RM11.74 juta

Filem Ombak Rindu ditayang pada tahun 2011 catat kutipankasar RM10.9 juta

Filem Hantu Bonceng catat kutipan RM8.54 juta

Filem Ngangkung tayang pada 2010 catat kutipan RM8.18 juta

Filem Kongsi tayang pada 2011 dapat kutipan kasar RM8.09 juta

Khurafat daripada Syamsul Yusof catatkan kutipan RM8.08 juta ditayang pada 2011.

Filem arahan Mamat Khalid ini catatkan kutipan RM7.9 juta ditayang pada 2010.
Adnan Sem-It yang ditayang pada 2010 dapat kutipan RM7.66 juta.

# filemcereka tempatan
# filemtempatantop10

Rabu, 8 Mac 2017

Awie, Wings dan Belenggu Irama


Album pertama Wings - Belenggu Irama




















Konsert Wings & Superfriend - Belenggu Irama di Istana Budaya pada 6 - 9 April 2017.
Belenggu Irama diambil dari tajuk album sulung Wings pada tahun 1987.
Dalam abum itu ada beberapa lagu yang masih hits hingga sekarang seperti Peronda Jaket Biru, Intanku Kesepian dan Biarlah Berlalu. Lagi Inspirasi Taming Sari pula memang kerap dinyanyikan oleh Awie dalam hampir setiap konsert Wings.

Senarai penuh lagu dalam album Belenggu Irama - Wings.

Tak dapat bayangkan macam mana persembahan Awie dalam Konsert Wings Superfriend - Belenggu Irama.
Belenggu Irama mencatatkan banyak cerita mengenai Wings dan Awie.
Awie adalah satu-satunya anggota pengasas Wings. Ketika kumpulan ini diwujudkan pada tahun 1985 dan di bawah label ASP (pejabatnya di Batu 4, Jalan Ipoh), anggota Wings ialah Awie, Syam, Zul dan Jojet.
Dua tahun lepas itu, Zul bawa haluan sendiri. Jojet pula jadi pemain dram kumpulan Gersang.
Bila mereka dapat tawaran rakaman album, Awie terpaksalah cari kawan-kawan baru. Akhirnya dia jumpa Eddie untuk bermain bass, manakala bekas pemain dram kumpulan Babylon, Black pula menggantikan tempat Jojet.
Jadi, ketika album Belenggu Irama disiapkan, Wings dianggotai oleh Awie dan Syam sebagai anggota asal, kemudian disokong dengan dua ahli baru, Eddie dan Jojet.

Awie, anggota asal Wings dengan vokal semakin padu.

Album Belenggu Irama mendapat sokongan daripada karyawan muzik tersohor seperti M Nasir, Bob Lokman dan JS Kevin.
Apabila siap, album dan lagu-lagunya terbelenggu pula dengan masalah lain. Walaupun lagu-lagu dalam album itu seperti Peronda Jaket Biru, Biarkan Berlalu, Intan Ku Kesepian mendapat sambutan baik, tetapi Wings tidak mendapat sokongan daripada radio RTM ketika itu.

Imej rock menjadi isu sosial yang menakutkan masyarakat pada lewat tahun 80-an dan 90an. RTM tidak memberi laluan untuk menyiarkan lagu Wings atas alasan lirik lagu dan imej pakaian Wings dianggap sebagai keterlaluan dan tidak mengikut syarat serta peraturan yang ditetapkan oleh stesen penyiaran itu.

Selepas itu, populariti Wings terus meningkat. Konsert mereka sentiasa mendapat perhatian ramai dan rata-rata peminat amat terhibur dengan persembahan Wings yang mantap dan mempunyai identiti tersendiri.

Setahun selepas kemunculan album Belenggu Irama, Wings sekali lagi dibelenggu dengan masalah keahliannya.
Kali ini, pemain gitar utama (lead guitar), Syam pula menarik diri kerana mahu menyertai kumpulan CRK yang popular dengan dengan lagu Cita dan Air Mata.
Tempat Syam digantikan oleh pemain gitar yang dikenali sebagai Tham. Tapi Tham seperti tidak serasi dengan Wings. Tham keluar dan kekosongan posisi pemain gitar utama diisi dengan Joe.
Joe ketika itu adalah pemain gitar tangan kiri dari kumpulan Scandals. Kemasukan Joe memantapkan lagi Wings kerana Joe juga adalah seorang pemain gitar yang kreatif.

Mungkin Awie akan mengimbau sedikit sebanyak cerita dan sejarah Wings sehingga munculnya album Belenggu Irama dalam Konsert Wings & Superfriend - Belenggu Irama.


# awiewingsbelengguirama


J Revolusi, Kanang Anak Langkau dalam senarai Top 10 GSC

Filem J Revolusi masih berada di tangga ketiga carta Top 10 GSC. Dua filem tempatan, J Revolusi dan Kanang Anak Langkau: The Iba...