Isnin, 13 Mac 2017

Kong, Logan 'belasah' filem tempatan












Ketika ini dua filem Hollywood, Kong: Skull Island dan Logan: The Wolverine berada dalam carta teratas Top 10 di rangkaian panggung GSC.
Filem tempatan?
Bila tengok filem tempatan yang ditayangkan dalam tiga bulan pertama tahun 2017, terasa seperti menonton filem yang sudah ketinggalan tiga atau empat ke belakang.
Betullah, tak adil nak samakan filem tempatan dengan filem Hollywood. Dari aspek teknologi dan teknikal serta kos, memang tidak terlawan.
Tapi dari aspek cerita, plot dan sub-teks, rasanya kita boleh lawan filem dari Hollywood.
Kalau ceritanya syok ditonton, orang tak kira soal teknologi dan cara pembikinannya.
Filem Indonesia seperti Surga Yang Tak Rindukan 2 tidak menggunakan teknologi serba canggih tetapi ia masih ditayangkan di panggung hampir sebulan.
Filem dari Iran pun jauh ketinggalan dari sudut teknologi pembikinan, tetapi dari aspek pengolahan, penceritaan dan sub-teks, ada yang lebih baik daripada filem dari negara lebih maju.
Sudah berjuta ringgit dibelanjakan, samada dana dari kerajaan atau syarikat persendirian, namun kebanyakan filem kita masih tidak banyak berubah. Pi mai pi mai masih tang tu juga.
Filem yang disiapkan dua atau tiga tahun lepas, baru tahun ini ditayangkan.
Pelakon yang dahulunya popular, sekarang entah ke mana. Mungkin juga pelakon itu sendiri sudah tidak popular.
Ada yang tidak sedar dan tidak tahu pun dengan kewujudan filem Dorm Melati, Spy In Love dan Aku Haus Darah Mu. Beberapa filem Cina tempatan juga masuk panggung, memberi saingan kepada filem Melayu. Antaranya Love From Kampung (dalam bahasa Kantonis), New Year Wish (Mandarin), Money Money Home dan I Am Lee Kah Seng.

Filem Kantonis tempatan, Love From Kampung dapat kutipan RM1 juta. 



Dorm Melati filem tempatan pertama ditayangkan pada tahun 2017, catat kutipan lebih RM350,000 selepas 21 hari ditayangkan.
Spy In Love menampilkan pelakon cantik dan kacak tetapi hanya dapat RM4,059 dan ditayangkan lima hari.


Filem seram Aku Haus Darah Mu dapat kutipan kasar hampir RM60,000 dengan tempoh tayangan 14 hari. 

Setakat ini, sudah 10 filem terbitan tempatan (local movie) sudah masuk panggung. Filem yang sedang ditayangkan ialah J Revolusi.

Filem J Revolusi catat kutipan RM1.9 juta selepas lima hari ditayang bermula 2 Mac 2017
Satu perkara yang klise, bila setiap kali filem tak laku, kita akan mendengar pengarah atau penerbit susah hendak mengaku kelemahan filem terbitan dan arahannya.
Dengan pantas, bagi alasan filem mereka disaingi oleh filem lain. Lalu mereka tuduh pihak tertentu seperti FINAS atau Wajib Tayang tidak prihatin dengan mereka kerana membiarkan filem luar menyaingi filem mereka.
Ada juga yang kata penonton tak bijak menilai. Asyik nak tengok filem yang ringkas saja. Itu semua sebenarnya hanya mendedahkan tembelang kelemahan diri sendiri.
Kalau filem tempatan sememangnya kuat, penerbit atau pengarahnya tidak akan gentar dengan filem luar.
Kenapa nak takut bersaing? Nak salahkan penonton? Hak penonton atau orang ramai hendak tengok filem yang mereka suka. Mereka keluarkan duit dari poket sendiri. Pastinya setiap orang ada cita rasa sendiri.
Mengambil contoh filem Soulmate Hingga ke Jannah arahan Profesor Dr A Razak Mohaideen yang dikatakan mencatatkan kutipan teruk. Ada melaporkan kutipan filem itu tak sampai RM100,000 pun berbanding kosnya yang dikatakan lebih RM1 juta.

Soulmate Hingga Jannah hanya dapat sekitar RM25,000 selepas tamat tayangannya selema tujuh hari.

Filem dari Indonesia ini masih bertahan dalam panggung sejak ditayangkan 9 Februari lalu. 

Penerbitnya mendakwa kutipan itu teruk kerana Soulmate Hingga Ke Jannah menghadapi saingan dengan Surga Yang Tak Dirindukan 2 dari Indonesia.
Daripada menyalahkan pihak lain, lebih baik pengarah dan penerbit Soulmate Hingga Ke Jannah melihat sendiri filem Surga Yang Tak Dirindukan 2. Apakan kekuatan filem arahan Hanung Bramantyo itu.
Dalam portal GSC, filem dari Indonesia itu yang ditayangkan pada 16 Februari lalu masih berada dalam carta Top 10. Karyawan filem kita harus buat post-moterm apa yang tidak kena dengan karya mereka sebelum hendak menuding jari kepada pihak lain.

Filem Tempatan yang ditayangkan dari Januari 2017 hingga 10 Mac 2017

Tarikh Tayangan         Filem                     Jumlah Hari Ditayangkan           Kutipan Kasar
02 Januari 2017          Dorm Melati                       21 hari                                  RM  350,000.
19 Januari 2017          Spy In Love                          5 hari                                RM      4,059.
26 Januari 2017          Love From Kampung*       19 hari                                   RM1,052,142.      
26 Januari 2017          New Year Wish**              11 hari                                   RM    49,282.
02 Februari 2017        Aku Haus Darah Mu          14 hari                                   RM     59,964.
02 Februari 2017        Money Money Home         02 hari                                   RM   335,222.
09 Februari 2017        I Am Lee Kah Seng            14 hari                                  RM     76,194.
16 Februari 2017        Soulmate Hingga Jannah    7 hari                                    RM     25,479.
23 Februari 2017        Pak Pong                             7 hari                                  RM     35,607.
02 Mac 2017               J Revolusi***                     5 hari                                   RM1,914,041.


* Filem Bahasa Kantonis
** Filem Bahasa Mandarin
*** Masih ditayangkan.

Sumber: Portal Rasmi Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (FINAS) 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

J Revolusi, Kanang Anak Langkau dalam senarai Top 10 GSC

Filem J Revolusi masih berada di tangga ketiga carta Top 10 GSC. Dua filem tempatan, J Revolusi dan Kanang Anak Langkau: The Iba...