Jumaat, 17 Februari 2017

Apa sebenarnya cerita Soulmate Hingga Jannah?




Tangan Mohd Firdaus sudah bersalam erat dengan tok kadi untuk sedia dinikahkan dengan Rokiah yang diejek sebagai gadis kampung.
Tidak semena-mena, datang seorang lelaki bernama Azmir yang meminta majlis pernikahan yang diadakan di halaman sebuah rumah kampung dihentikan.


Selepas berunding dan merayu, akhirnya Firdaus yang lengkap berbaju Melayu, bersetuju dengan permintaan Azmir untuk melepaskan Rokiah yang sudah bersedia dengan gaun pengantin.
Alasan Azmir, dia menyedari Rokiah adalah soulmate - teman sehidup semati - yang layak menggantikan tempat isterinya yang meninggal dunia.
Serta merta juga Azmir dinikahkan dan kemudian rakan-rakan serta penduduk kampung bersorak gembira.

Ramai yang seronok apabila seorang lelaki ‘merampas’ bakal isteri orang. Dan berlaku pula pada hari pernikahan. Di hadapan tok kadi pula tu.

Memang sangat mengarut tetapi mujurlah ini hanya cerita dalam filem semata-mata, dalam Soulmate Hingga Jannah arahan Profesor Dr A Razak Mohaideen yang mula ditayangkan 16 Februari lalu.
Jalan ceritanya macam filem Hindi, malahan lebih daripada filem Hindi pula. Muzik latarnya pula kedengaran mirip lagu Janam Janam dari filem Dilwale.

Mungkin itu satu 'kejutan' atau gimik daripada Razak Mohaideen dalam karyanya terbaharunya. Beliau mengandaikan bagaimana kalau perkara itu berlaku dalam masyarakat kita walaupun hakikatnya agak mustahil. Dalam filem Tamil atau Hindi sekalipun, jarang ada cerita mengahwinkan anaknya tanpa mendapat pengetahuan atau restu orang tuanya. Tiba-tiba saja datang menikah. Lainlah kalau cerita cerita kahwin lari.

Antara babak Azmir dan Rokiah dalam Soulmate Hingga Jannah
Cerita Soulmate Hingga Jannah ini sebenarnya simple saja, ia kisah cinta yang sudah biasa diangkat dalam filem, novel, drama atau teater. Kisahnya mengenai orang kaya mula-mula benci kepada orang yang setaraf dengannya, tetapi kemudian berubah menjadi orang yang disayangi pula.
Cuma cara persembahannya yang menentukan ia mampu memberikan penceritaan yang baik, menghiburkan atau sebaliknya.


Azmir lakonan Taufik Batisha adalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di sebuah syarikat yang diusahakan bersama rakannya Ira (Erra Fazira), Douglas Lim (Jackie), Raja Ilya (Rokiah), Reen Rahim (Khalisa) selain Nad Zainal, Ainin Batrisya serta penampilan khas, Datuk Rahim Razali.
Memaparkan emosi marah, berlagak, seronok, geram dan sedih tidak semestinya hanya dengan kata-kata. Lagak Azmir yang asyik menengking dan menyindir Rokiah dengan dialog tidak memberikan apa-apa emosi kepada penonton.

Raja Ilya sebagai Rokiah sering diperlekeh oleh Azmir
Lakonan Raja Ilya boleh seperti tidak dikawal. Gadis tomboy kampung bersama dengan rakannya kurang menjadi. Begitu juga sebagai Rokiah sebagai perempuan nerd, bodoh-bodoh alang atau lurus bendul yang tergedik-gedik tidak nampak natural kerana banyak yang dibuat-buat.
Solekannya ke atas Raja Ilya juga sangat tebal sehingga kadang kala kelihatan berbelang.

Soulmate Hingga Jannah ceritanya ringkas dan straight foward, tiada konflik.
Daripada merampas Rokiah, rasanya lebih bagus kalau Azmir menemui Firdaus menasihati lelaki itu supaya menjadi suami yang baik, menjaga Rokiah dan mendoakan kebahagiaan mereka hingga ke jannah. Di saat ini, Razak Mohaideen boleh melakukan babak imbas semula (flashback) saat suka dan duka, waktu bahagian Azmir ketika bersama isterinya, Khalisa sehingga meninggal dunia. Boleh diselitkan bagaimana Azmir berlaku curang tetapi insaf dan sedih, menyesal di atas perbuatannya apabila mengetahui isterinya menghidap penyakit berbahaya dan hayatnya tidak lama.

Douglas Lim sebagai Jacky memang menghiburkan
Sangat kelakar apabila Azmir, Jacky dan Ira serta Rokiah dihantar ke Chiang Mai selama sebulan untuk merundingkan projek usaha sama penanaman orkid. Dalam tempoh itu, perbincangan mengenai projek dengan syarikat Chiang Mai dipaparkan hanya dua atau tiga kali. Selebihnya, mereka sekadar bercuti. Jadi, mereka ke Chiang Mai hanya bercuti saja lebih kemudian nak main cinta.
Tidak dinafikan penampilan Douglas Lim sebagai Jacky menghidupkan cerita filem ini selepas melihat aksi Taufik Batihya yang agak statik dan sedikit membosankan serta klise.
Jacky adalah menjadi orang tengah apabila wujud ketegangan antara Azmir dengan Rokiah atau antara Ira dengan Rokiah.

Erra Fazira sebagai Ira yang memendam rasa dengan Azmir (Taufik Batisha)
Erra Fazira pula, sebagai aktres berpengalaman, memang nampak bersahaja dalam melakukan watak Ira. Ada masanya dia lembut tetapi tegas dan sarcastic. Kemarahannya tidak perlu menerusi intonasi suara yang tinggi.
Keseluruhan cerita Soulmate Hingga Jannah memang sangat ringkas pun, straight foward, hanya berlegar-legar di antara Azmir, Jacky, Ira dan Rokiah bekerja sambil makan angin di Chiang Mai. Sesekali muncul Azhari Zain sebagai Karim Macai dan kemudian babak Rokiah balik kampung yang dikelilingi dengan bendang.
Tidak ada konflik dan plot atau subplot yang memeningkan. Anda boleh menonton filem ini jika mahu melihat lakonan Erra Fazira yang lama tidak muncul di layar perak, dan Douglas Lim dengan telatah yang menghiburkan.

INFO
* Filem Soulmate Hingga Jannah
* Mula ditayangkan 16 Februari 2017 
* Di GSC Midvalley filem ditayangkan dalam empat sesi - 11 pagi, 1.30 tengah hari, 4 petang, 6.30 petang, 9 malam dan 11.20 malam

# SoulmateHinggaJannah 
# Razak Mohaideen
# ErraFaziraDouglasLimRajaIlya


Rabu, 15 Februari 2017

KEMBARA: Goran Kropp - Legenda pendaki, pengembara lasak Sweden



Kayuh basikal ribuan kilometer, panjat gunung beribu meter pula dengan cuaca sejuk ekstrem kemudian berpatah balik dengan mengayuh basikal sekali lagi.
Memang sungguh kental semangat manusia ini. Ia memang kerja nekad yang bukan semua orang boleh melakukannya.


Inilah keazaman pengembara Sweden dan pendaki gunung, Goran Kropp mengagumkan peminat aktiviti lasak pada tahun 1996, apabila dia mengayuh basikal sejauh 13,000 km dari Sweden ke Nepal, sebelum Gunung Everest tanpa oksigen tambahan dan kemudian balik negaranya dengan berbasikal juga. 


Kropp semakin aktif dengan aktiviti pengembaraan lasak
selepas menamatkan khidmatnya sebagai tentera.
Minat Kropp dengan aktiviti pendakian bermula pada tahun 1972, ketika berusia enam tahun. Bapanya membawa Kropp mendaki Norway Galdhopiggen, iaitu puncak tertinggi di Scandinavia. Ketinggiannya 2,469 meter atau 8,100 kaki dari paras laut.


Kropp dibawa bapanya mendaki Norway Galdhopiggen
ketika umurnya enam tahun
Selepas menamatkan perkhidmatannya sebagai tentera dalam pasukan Swedish Prachute Rangers, Kropp sudah memasang impian untuk menawan puncak-puncak paling mencabar di dunia. 

Sebelum menakluki puncak Gunung Everest, dia menawan beberapa puncak hebat dan menggerunkan seperti Lenin Peak (terletak di sempadan antara Tajikistan dan Kyrgyztan) pada tahun 1988. Lenin Peak juga dikenali sebagai puncak Ibnu Sina setinggi 7,134 meter iaitu puncak tertinggi di Banjaran Trans-Alay di Asia Tengah
Kropp seterusnya mendaki dan menawan puncak Iliniza Sur setinggi 5,263 meter, Illampu (6,368 meter) dan Cotopaxi (5,897 meter) semuanya dalam jajaran Banjaran Andes di Amerika Selatan dengan pendakian bermula dari Ecuador; puncak Illimani (6,439 meter) dan Huayna Potosi (6,088 meter) di Banjaran Cordilera Real di bahagian barat Bolivia.


Puncak Cotopaxi antara gunung di Banjaran Andes di Ecuador


Lenin Peak atau puncak Ibnu Sina terletak di Banjaran Trans - Alay terletak antra Tajikistan dan Kyrgyztan
Puncak yang dikenali Menara Muztagh setinggi 7,509 meter di Karakoram, Pakistan

Dia juga mendaki puncak Menara Muztagh (7,509 meter) di Banjaran Karakoram di Pakistan; dan Peak Pobeda yang juga dikenali Tomur Feng setinggi 7,439 meter di sempadan China dan Kyrgyztan.


Kropp cekal mengayuh sejauh 13,000 km dari Sweden ke Nepal semata-mata hendak menawan puncak Everest.

Berkayuh sambil membawa bebanan lebih 100 kg
Daripada pencapaian dan kejayaannya itu, mesti ramai beranggapan Kropp seorang yang cukup lasak. Itu tidak dinafikan.
Namun begitu, ia tidak menghalangnya daripada melakukan pengembaraan mengagumkan, iaitu pengembaraan epik dari Sweden ke Nepal untuk menyahut cabaran Gunung Everest. Dia meninggalkan Stockholm pada 16 Oktober 1995 dengan mengayuh basikal yang direka khas dinamakan Crescent Ultima. 
Dengan basikal itu, dia membawa barang keperluan yang berat keseluruhannya kira-kira 108 kilogram dan makanan. 
Kropp mengayuh 13,000 km untuk tiba di Base Camp Gunung Everest pada April 1996.
Ketika tiba di base camp, berlaku ribut salji dahsyat yang mengorbankan lapan pendaki. Kropp turut serta dalam kerja menyelamat dan terbabit dengan penghantaran bekalan ubat-ubatan untuk merawat mangsa ribut salji.

Pencapaian sukar dicabar


Apa yang dilakukan oleh Kropp menyebabkan dia menjadi seorang
legenda dalam dunia pengembaraan lasak
Dalam membincangkan pengalaman Kropp, penulis buku terkemuka antarabangsa, John Rothchild berkata; “Sebelum Kropp, lebih daripada 900 orang naik ke puncak Gunung Everest dengan cara yang boleh dianggap biasa iaitu membawa tong oksigen dan Sherpa yang membantu membawa barang keperluan. Mereka juga tiba di Kathmandu dengan kapal terbang. 
“Tetapi lain pula dengan Kropp. Dia mengayuh basikal untuk sampai di kaki Gunung Everest hampir 13,000 km dari Sweden. 



Kropp nekad menawan puncak Gunung Everest dengan caranya tersendiri.


Dia tiba dengan pakaian pendakian paling asas, mendaki pula secara solo, tanpa sebarang tong oksigen tambahan. Tapi dia boleh sampai ke puncak Everest. 
“Bukan itu saja, dia balik ke rumahnya di Sweden dengan berbasikal juga, sama seperti dia datang ke Gunung Everest. Apa yang dilakukan oleh lelaki ini adalah jelas: Kropp hanya bergantung kepada semangat dan kekuatan sendiri ketika membawa barang keperluannya ke puncak Everest.”
Rotchild menegaskan apa yang dilakukan oleh Kropp pastinya sukar diikuti oleh pengembara lain. 
Kropp sendiri apabila ditanya mengapa berbasikal pergi dan balik yang pastinya memenatkan, dia hanya menjawab: “Saya mahu membuat satu pengembaraan yang tidak pernah dilakukan oleh sesiapa sebelum ini.”


Kropp menegaskan dia mahu membuat satu pengembaraan hebat yang tidak pernah dilakukan oleh sesiapa.

Apa yang dilakukan oleh Kropp itu tidak meletakkan dirinya sebagai manusia ‘luar biasa’. Kropp sanggup menghadapi apa saja risiko dalam melakukan pengembaraan atau aktiviti lasak yang digemarinya ini. Bagaimanapun, ia tidak bermakna Kropp seorang yang mengabaikan keselamatan. 

Kematian yang tragis, jatuh ketika aktiviti rock climbing


Bersama tunang, Renata Chlumska yang juga wanita Sweden
pertama menawan puncak Gunung Everest.
Pada tahun 2002, Kropp berpindah dari Sweden ke Seattle, Amerika Syarikat bersama tunanynya, Renata Chlumska. Tunangnya itu bukan calang-calang orang kerana Chlumska ialah wanita Sweden pertama yang sampai ke puncak Gunung Everest.
Pada 30 September 2002, Kropp mati akibat terjatuh ketika melakukan aktiviti rock climbing di laluan Air Guitar berhampiran French Coulee di Vantage, Washington. Dia jatuh di ketinggian kira-kira 60 kaki dan meninggal dunia serta merta. 


Kematian Kropp meninggalkan inspirasi kepada
pengembara dan pencinta aktiviti lasak

Dia baru berusia 35 tahun tetapi apa yang dilakukan dalam dunia pengembaraan lasak menyebabkan namanya dicatatkan sebagai legenda. Kropp mencatatkan namanya sebagai pengembara lasak dan aktiviti outdoor paling dikagumi dunia. 
Cerita pencapaiannya memberikan inspirasi kepada generasi seterusnya.


# zainurimisfar
# pengembara lasak 

Isnin, 6 Februari 2017

Aamir Khan, Dangal dan kejam

Semangat besar Aamir Khan mendisiplinkan 'anak gadisnya;


Aamir Khan memegang watak sebagai  Mahavir Singh Phogat

Dia kelihatan jarang senyum. Wajahnya tegas dan serius. Sesekali mungkin dianggap sebagai kejam kerana cara mengasuh anak perempuannya yang tidak ada belas kasihan.
Dia memaksa anaknya bangun seawal pagi dan berlari keliling kampung, melakukan latihan keras sebelum mereka ke sekolah.
Dia tidak peduli keluhan, rungutan dari isterinya yang kasihan melihat didikan kejam ke atas anak gadis mereka.
Dia melakukan semua yang dianggap kejap kerana mahu mencapai impiannya iaitu menjadi juara gusti dunia.


Walaupun dilihat bengis bak singa, tapi naluri seorang bapa tetap ada. Cuma dia tidak menunjukkan dengan jelas. Dia sorokkan rasa kasih dan sayangnya. Saban hari dia menonjolkan keegoannya seorang lelaki, dan masa sama nekad mahu membuktikan bahawa anak perempuannya mampu menggegarkan dunia menerusi perlawanan gusti.


Dalam kampung tradisional yang masih konservatif budaya dan pemikirannya, menyuruh anak perempuan memasuki arena gusti seperti satu taboo. Penduduk kampung sangat sinikal, Impian lelaki ini ditertawakan. Tapi dia tidak kisah. Dia tahu, suatu hari nanti orang kampung akan terngaga melihat kejayaan anaknya.

Namun, untuk berjaya tidak mudah. Latihannya cukup keras. Disiplinnya sangat tinggi. Dia sanggup melakukan apa saja, hatta berhenti kerja semata-mata untuk memberi tumpuan melatih anaknya.
Cabarannya juga tinggi. Anak perempuannya dihalang berlawan dengan penggusti lelaki atas alasan 'itu bukan lawan sepatutnya'. Tapi dia sanggup membentak penganjur, memaksa penganjur membenarkan anak perempuannya bergusti dengan peserta lelaki.
Kesudahannya, tiada peserta lelaki yang berani menyahut cabaran anaknya. Anak perempuan sulunya, Geeta berjaya memasuki sekolah sukan India.
Seperti biasa, terdapat kejutan budaya dalam hidup gadis ini. Trasformasi dari gadis kampung menjadi gadis bandar sangat ketara. Dia hilang fokus, kurang berdisipin, ego dan besar kepala, malah sanggup bertelagah dengan ayahnya sendiri.


Tapi ia tidak kekal lama. Geeta menyedari kesilapannya. Dia memohon maaf. Permohonan maaf menerusi telefon diungkapkan tanpa sepatah dialog. Tapi sangat berkesan dalam jiwa menonton. Geeta menangis teresak-esak, manakala si bapa pula bergenang air mata mendengar esakan dari anaknya.
Dari situ bermula satu tekad, satu azam untuk tidak lagi memandang ke belakang, tidak lagi mengulangi kesilapan. Sehingga kemuncaknya Geeta meraih pingat emas di Sukan Komanwel 2014. Geeta menjadi wanita India pertama mememangi pingat emas dalam acara gusti di Sukan Komanwel, pencapaian yang amat membanggakan kaum wanita dan seluruh India.



Filem Dangal diinspirasikan daripada cerita keazaman seorang bapa dikenali Mahavir Singh Phogat yang dilakonkan oleh Aamir Khan. Ceritanya cukup memberi inspirasi. Terdapat nilai kasih sayang seorang bapa, pengorbanannya dan keazaman serta dedikasinya yang diturunkan habis-habisan kepada anaknya.
Dia mengetepikan budaya dan pemikiran ortodoks orang kampung yang sangat konservatif terhadap anak perempuan - apabila sudah mencapai umur tertentu dipaksa berkahwin - tanpa memberi peluang kepada mereka untuk membuat pilihan hidup tersendiri.
Begitu juga dengan keazaman yang ditunjukkan oleh Geeta lakonan Fatima Sana Shaikh dan adiknya Babita (Sanya Malhotra) yang cukup berkesan.

Dangal tidak ada lagu mendayu-dayu tetapi boleh dilihat bagaimana cerita bersifat nasionalis tidak semestinya ada menyelitkan elemen politik, kisah sejarah meleret, kisah peribadi tokoh yang meleret-leret, sebaliknya fokus kepada apa yang hendak diangkat sehingga membangkitkan semangat.


Chenuang Oh Chenuang

Jangan ingat senang walaupun bukit




Daerah Hulu Langat memang terkenal sebagai kawasan riadah dan aktiviti lasak atau outdoor dalam kalangan warga kota kerana kedudukannya yang tidak jauh dari ibu negara iaitu sekitar 30 km.
Hutan, sungai dan perkampungan tradisi serta dusun buah-buahan adalah tarikan utama daerah Hulu Langat.
Tidak keterlaluan kedatangan pelawat pada hujung minggu atau cuti umum memberikan pendapatan tambahan kepada penduduk di kawasan ini.




Hutan simpan negeri Selangor yang seolah-olah belum disentuh dengan kerakusan pembangunan menjadi aset kepada keindahan semula jadi di Hulu Langat yang bersempadan dengan Kuala Klawang, Negeri Sembil di selatan, Janda Baik, Pahang di timur, manakala sebelah utara pula berhampiran Ampang dan Kuala Lumpur, selain Kajang dan Putrajaya di barat.
Hutan Lipur Sungai Congkak adalah antara destinasi yang tumpuan untuk berkelah mahupun berkhemah atau merentas hutan (trekking). Hutan lipur lain seperti Sungai Gabai, Sungai Tekala, Sungai Manggis atau Hutan Lipur Sungai Loppo.





Bagi mereka yang lasak, mempunyai cukup tenaga dan inginkan cabaran, boleh mendaki Gunung Nuang di Pangsoon, antara gunung popular di Selangor. Di atas gunung ini, terdapat bekas saluran paip dan empangan lama yang membekalkan air untuk pusat tadahan air Hulu Langat.
Dalam hutan Lipur Sungai Congkak pula, selain berkhemah dan berkelah, anda boleh melakukan cabaran mendaki BukitChenuangBukit ini tidak sepopular Gunung Nuang kerana berdasarkan trek (laluan), ia seolah-olah jarang dikunjungi oleh pendaki.
Untuk sampai ke puncak Bukit Chenuang harus merentasi beberapa anak sungai kecil dan hutan agak tebal selain menyusup di bawah rimbunan buluh.
Ini yang paling menyeksakan. Nasib baik tidak sampai macam komando.





Apapun kepuasannya sudah pasti apabila berada di atas puncak Bukit Chenuang. Satu jam di atas puncak, berkira-kira hendak turun.
Aduhhh..malas pula tapi takkan nak bermalam di atas bukit pula. Turun tidak ada masalah. Semuanya laju dan dalam kurang dua jam sudah sampai ke check point pintu masuk. 

Penat Naik Angsi

Cerita Dari Gunung Angsi

Mendaki Gunung ANgsi pada hujung minggu memang memenatkan.

J Revolusi, Kanang Anak Langkau dalam senarai Top 10 GSC

Filem J Revolusi masih berada di tangga ketiga carta Top 10 GSC. Dua filem tempatan, J Revolusi dan Kanang Anak Langkau: The Iba...