Isnin, 6 Februari 2017

Aamir Khan, Dangal dan kejam

Semangat besar Aamir Khan mendisiplinkan 'anak gadisnya;


Aamir Khan memegang watak sebagai  Mahavir Singh Phogat

Dia kelihatan jarang senyum. Wajahnya tegas dan serius. Sesekali mungkin dianggap sebagai kejam kerana cara mengasuh anak perempuannya yang tidak ada belas kasihan.
Dia memaksa anaknya bangun seawal pagi dan berlari keliling kampung, melakukan latihan keras sebelum mereka ke sekolah.
Dia tidak peduli keluhan, rungutan dari isterinya yang kasihan melihat didikan kejam ke atas anak gadis mereka.
Dia melakukan semua yang dianggap kejap kerana mahu mencapai impiannya iaitu menjadi juara gusti dunia.


Walaupun dilihat bengis bak singa, tapi naluri seorang bapa tetap ada. Cuma dia tidak menunjukkan dengan jelas. Dia sorokkan rasa kasih dan sayangnya. Saban hari dia menonjolkan keegoannya seorang lelaki, dan masa sama nekad mahu membuktikan bahawa anak perempuannya mampu menggegarkan dunia menerusi perlawanan gusti.


Dalam kampung tradisional yang masih konservatif budaya dan pemikirannya, menyuruh anak perempuan memasuki arena gusti seperti satu taboo. Penduduk kampung sangat sinikal, Impian lelaki ini ditertawakan. Tapi dia tidak kisah. Dia tahu, suatu hari nanti orang kampung akan terngaga melihat kejayaan anaknya.

Namun, untuk berjaya tidak mudah. Latihannya cukup keras. Disiplinnya sangat tinggi. Dia sanggup melakukan apa saja, hatta berhenti kerja semata-mata untuk memberi tumpuan melatih anaknya.
Cabarannya juga tinggi. Anak perempuannya dihalang berlawan dengan penggusti lelaki atas alasan 'itu bukan lawan sepatutnya'. Tapi dia sanggup membentak penganjur, memaksa penganjur membenarkan anak perempuannya bergusti dengan peserta lelaki.
Kesudahannya, tiada peserta lelaki yang berani menyahut cabaran anaknya. Anak perempuan sulunya, Geeta berjaya memasuki sekolah sukan India.
Seperti biasa, terdapat kejutan budaya dalam hidup gadis ini. Trasformasi dari gadis kampung menjadi gadis bandar sangat ketara. Dia hilang fokus, kurang berdisipin, ego dan besar kepala, malah sanggup bertelagah dengan ayahnya sendiri.


Tapi ia tidak kekal lama. Geeta menyedari kesilapannya. Dia memohon maaf. Permohonan maaf menerusi telefon diungkapkan tanpa sepatah dialog. Tapi sangat berkesan dalam jiwa menonton. Geeta menangis teresak-esak, manakala si bapa pula bergenang air mata mendengar esakan dari anaknya.
Dari situ bermula satu tekad, satu azam untuk tidak lagi memandang ke belakang, tidak lagi mengulangi kesilapan. Sehingga kemuncaknya Geeta meraih pingat emas di Sukan Komanwel 2014. Geeta menjadi wanita India pertama mememangi pingat emas dalam acara gusti di Sukan Komanwel, pencapaian yang amat membanggakan kaum wanita dan seluruh India.



Filem Dangal diinspirasikan daripada cerita keazaman seorang bapa dikenali Mahavir Singh Phogat yang dilakonkan oleh Aamir Khan. Ceritanya cukup memberi inspirasi. Terdapat nilai kasih sayang seorang bapa, pengorbanannya dan keazaman serta dedikasinya yang diturunkan habis-habisan kepada anaknya.
Dia mengetepikan budaya dan pemikiran ortodoks orang kampung yang sangat konservatif terhadap anak perempuan - apabila sudah mencapai umur tertentu dipaksa berkahwin - tanpa memberi peluang kepada mereka untuk membuat pilihan hidup tersendiri.
Begitu juga dengan keazaman yang ditunjukkan oleh Geeta lakonan Fatima Sana Shaikh dan adiknya Babita (Sanya Malhotra) yang cukup berkesan.

Dangal tidak ada lagu mendayu-dayu tetapi boleh dilihat bagaimana cerita bersifat nasionalis tidak semestinya ada menyelitkan elemen politik, kisah sejarah meleret, kisah peribadi tokoh yang meleret-leret, sebaliknya fokus kepada apa yang hendak diangkat sehingga membangkitkan semangat.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

J Revolusi, Kanang Anak Langkau dalam senarai Top 10 GSC

Filem J Revolusi masih berada di tangga ketiga carta Top 10 GSC. Dua filem tempatan, J Revolusi dan Kanang Anak Langkau: The Iba...