Jumaat, 17 Februari 2017

Apa sebenarnya cerita Soulmate Hingga Jannah?




Tangan Mohd Firdaus sudah bersalam erat dengan tok kadi untuk sedia dinikahkan dengan Rokiah yang diejek sebagai gadis kampung.
Tidak semena-mena, datang seorang lelaki bernama Azmir yang meminta majlis pernikahan yang diadakan di halaman sebuah rumah kampung dihentikan.


Selepas berunding dan merayu, akhirnya Firdaus yang lengkap berbaju Melayu, bersetuju dengan permintaan Azmir untuk melepaskan Rokiah yang sudah bersedia dengan gaun pengantin.
Alasan Azmir, dia menyedari Rokiah adalah soulmate - teman sehidup semati - yang layak menggantikan tempat isterinya yang meninggal dunia.
Serta merta juga Azmir dinikahkan dan kemudian rakan-rakan serta penduduk kampung bersorak gembira.

Ramai yang seronok apabila seorang lelaki ‘merampas’ bakal isteri orang. Dan berlaku pula pada hari pernikahan. Di hadapan tok kadi pula tu.

Memang sangat mengarut tetapi mujurlah ini hanya cerita dalam filem semata-mata, dalam Soulmate Hingga Jannah arahan Profesor Dr A Razak Mohaideen yang mula ditayangkan 16 Februari lalu.
Jalan ceritanya macam filem Hindi, malahan lebih daripada filem Hindi pula. Muzik latarnya pula kedengaran mirip lagu Janam Janam dari filem Dilwale.

Mungkin itu satu 'kejutan' atau gimik daripada Razak Mohaideen dalam karyanya terbaharunya. Beliau mengandaikan bagaimana kalau perkara itu berlaku dalam masyarakat kita walaupun hakikatnya agak mustahil. Dalam filem Tamil atau Hindi sekalipun, jarang ada cerita mengahwinkan anaknya tanpa mendapat pengetahuan atau restu orang tuanya. Tiba-tiba saja datang menikah. Lainlah kalau cerita cerita kahwin lari.

Antara babak Azmir dan Rokiah dalam Soulmate Hingga Jannah
Cerita Soulmate Hingga Jannah ini sebenarnya simple saja, ia kisah cinta yang sudah biasa diangkat dalam filem, novel, drama atau teater. Kisahnya mengenai orang kaya mula-mula benci kepada orang yang setaraf dengannya, tetapi kemudian berubah menjadi orang yang disayangi pula.
Cuma cara persembahannya yang menentukan ia mampu memberikan penceritaan yang baik, menghiburkan atau sebaliknya.


Azmir lakonan Taufik Batisha adalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di sebuah syarikat yang diusahakan bersama rakannya Ira (Erra Fazira), Douglas Lim (Jackie), Raja Ilya (Rokiah), Reen Rahim (Khalisa) selain Nad Zainal, Ainin Batrisya serta penampilan khas, Datuk Rahim Razali.
Memaparkan emosi marah, berlagak, seronok, geram dan sedih tidak semestinya hanya dengan kata-kata. Lagak Azmir yang asyik menengking dan menyindir Rokiah dengan dialog tidak memberikan apa-apa emosi kepada penonton.

Raja Ilya sebagai Rokiah sering diperlekeh oleh Azmir
Lakonan Raja Ilya boleh seperti tidak dikawal. Gadis tomboy kampung bersama dengan rakannya kurang menjadi. Begitu juga sebagai Rokiah sebagai perempuan nerd, bodoh-bodoh alang atau lurus bendul yang tergedik-gedik tidak nampak natural kerana banyak yang dibuat-buat.
Solekannya ke atas Raja Ilya juga sangat tebal sehingga kadang kala kelihatan berbelang.

Soulmate Hingga Jannah ceritanya ringkas dan straight foward, tiada konflik.
Daripada merampas Rokiah, rasanya lebih bagus kalau Azmir menemui Firdaus menasihati lelaki itu supaya menjadi suami yang baik, menjaga Rokiah dan mendoakan kebahagiaan mereka hingga ke jannah. Di saat ini, Razak Mohaideen boleh melakukan babak imbas semula (flashback) saat suka dan duka, waktu bahagian Azmir ketika bersama isterinya, Khalisa sehingga meninggal dunia. Boleh diselitkan bagaimana Azmir berlaku curang tetapi insaf dan sedih, menyesal di atas perbuatannya apabila mengetahui isterinya menghidap penyakit berbahaya dan hayatnya tidak lama.

Douglas Lim sebagai Jacky memang menghiburkan
Sangat kelakar apabila Azmir, Jacky dan Ira serta Rokiah dihantar ke Chiang Mai selama sebulan untuk merundingkan projek usaha sama penanaman orkid. Dalam tempoh itu, perbincangan mengenai projek dengan syarikat Chiang Mai dipaparkan hanya dua atau tiga kali. Selebihnya, mereka sekadar bercuti. Jadi, mereka ke Chiang Mai hanya bercuti saja lebih kemudian nak main cinta.
Tidak dinafikan penampilan Douglas Lim sebagai Jacky menghidupkan cerita filem ini selepas melihat aksi Taufik Batihya yang agak statik dan sedikit membosankan serta klise.
Jacky adalah menjadi orang tengah apabila wujud ketegangan antara Azmir dengan Rokiah atau antara Ira dengan Rokiah.

Erra Fazira sebagai Ira yang memendam rasa dengan Azmir (Taufik Batisha)
Erra Fazira pula, sebagai aktres berpengalaman, memang nampak bersahaja dalam melakukan watak Ira. Ada masanya dia lembut tetapi tegas dan sarcastic. Kemarahannya tidak perlu menerusi intonasi suara yang tinggi.
Keseluruhan cerita Soulmate Hingga Jannah memang sangat ringkas pun, straight foward, hanya berlegar-legar di antara Azmir, Jacky, Ira dan Rokiah bekerja sambil makan angin di Chiang Mai. Sesekali muncul Azhari Zain sebagai Karim Macai dan kemudian babak Rokiah balik kampung yang dikelilingi dengan bendang.
Tidak ada konflik dan plot atau subplot yang memeningkan. Anda boleh menonton filem ini jika mahu melihat lakonan Erra Fazira yang lama tidak muncul di layar perak, dan Douglas Lim dengan telatah yang menghiburkan.

INFO
* Filem Soulmate Hingga Jannah
* Mula ditayangkan 16 Februari 2017 
* Di GSC Midvalley filem ditayangkan dalam empat sesi - 11 pagi, 1.30 tengah hari, 4 petang, 6.30 petang, 9 malam dan 11.20 malam

# SoulmateHinggaJannah 
# Razak Mohaideen
# ErraFaziraDouglasLimRajaIlya


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

J Revolusi, Kanang Anak Langkau dalam senarai Top 10 GSC

Filem J Revolusi masih berada di tangga ketiga carta Top 10 GSC. Dua filem tempatan, J Revolusi dan Kanang Anak Langkau: The Iba...